Ahad, Mei 31, 2009

KUCARI MIMPI


dalam samar
ada suara
tiada wajah
ada gerak
tiada bayang

dalam samar
kucari diri
tiada tersentuh
kucari mimpi
tiada terpancar


Pinggiran Taman Bayu
31 Mei 2009

Ahad, Mei 17, 2009

DENGARLAH LAUNGAN KAMI


ruang ini semakin sempit, kami terhimpit
angin mesra tidak lagi berhembus
bagai bara api menghimpun panas
di bawah lantai yang retak
engkau di atas masih belum membuka mata
mungkin tidak lagi terasa panas ini
haba yang makin membakar hati-hati kami
kerana kebalnya engkau oleh kuasa
mampu menepis dan mengipas!

kami sudah bersuara, menjerit dalam kepanasan ini
kami sudah bersuara, lantang dalam kesempitan ini
belajarlah mendengar dengan hati
melihat dengan rasa
kerana engkau juga seperti kami semua
bakal merasai panas dan bahang api
jika terbakar padang ini!

kerana kami rindukan tenang damai
di dakap dingin mesra dan sejahtera.



Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
17 Mei 2009

Sabtu, Mei 16, 2009

TERIMA KASIH CIKGU.


Terima kasih cikgu,
sudi menyiram kasih
menyemai sayang
ke telaga jiwaku,
kini air jernihnya
menghilang kehausan
membersih danor diri
perjalanan diri
lebih tenang dan yakin.

Istirehatlah cikgu
ilmumu tidak akan memutuskan
pahalamu di sisi Tuhan.



Pinggiran Tama Bayu
16 Mei 2009

Rabu, Mei 13, 2009

PERJUANGAN INI MESTI DITERUSKAN


Entah kenapa hati tiba-tiba menangis

sendu pilu makin mencengkam dan menghiris
luka bagai diasam garamkan, disiat-siat isi
darah sudah tidak mengalir lagi
atau sudah kering dan membeku.

Perkhabaran yang pecah dari gunung itu
menjadi awan kelam membumbung rumah kita
terapung dan bergumpalan menanti waktu
menyerkup dan menghitamkan arena
seperti kelmarin dan hari-hari sebelumnya
hitam telah memadamkan bersih putih.

Perit pilu perjuangan masih terasa
bagai api yang membakar padang kering
seluruh tenaga direngkuh membina pagar
menggali khandak dan membangun pondok
demi untuk sebuah masa depan
demi untuk sebuah tamadun.

Biar seribu tahun nanti anak cucu kita bangun
berdiri dan berlari di laman ini dengan bebas
tanpa resah dibayangi lembaga hitam mengintip
atau mata asing merenung tajam penuh dendam.

Perjuangan ini mesti diteruskan, mesti!



Pinggiran Taman Bayu
13 Mei 2009

Ahad, Mei 10, 2009

KESANNYA AKAN KEKAL SAMPAI BILA-BILA


engkau telah melorekhitamkan kanvas ini

dengan arang yang sukar dipadam
meski dengan pemadam paling mahal
kerana kesannya akan kekal sampai bila-bila
akan terpahat di hati dan rasa seluruh insan
menagih keadilan!

engkau telah mengoyakrobekkan pakaian ini
dengan cekau kuku tajam
tidak mungkin dapat dijahit kembali
meski dengan benang emas dan perak
kerana kesannya akan kekal sampai bila-bila
kekal terserlah kejahilan dan kerakusan
manusia yang bongkak!

engkau telah menginjakhindikkan lantai ini
dengan sepatu kilat penuh najis
tidak mungkin dibasuh kembali
dengan pencuci berkuasa paling tinggi
kerana kesannya akan kekal sampai bila-bila
menjadi tanda kecetekan akal budi
tanda kerabakan nilai budaya
manusia tanpa rasa!

engkau telah tinggalkan jejak songsang
engkau telah tinggalkan hanyir longkang
engkau telah tinggalkan amarah rakyat
kesannya akan kekal sampai bila-bila!



Pinggiran Taman Bayu
10 Mei 2009

Sabtu, Mei 09, 2009

PETAKA APAKAH INI?



segalanya dibungkus hitam
dusta bertindan, bertindih-tindih
lantai tidak lagi menjadi tempat berjalan
bumbung telah runtuh!
selaut resah terapung di ruang
tanpa janji sejahtera
sebuah rumah tidak lagi selamat
dihuni seluruh umat!

petaka apakah ini?



Pinggiran Taman Bayu
9 Mei 2009

Isnin, Mei 04, 2009

MENCARI JEJAK


sesekali menoleh ke belakang, mencari jejak

ditelan kelam waktu dan pantai kelabu, benarkah
pernah kulewati di sini?

entah kenapa tiba-tiba angin menyusun tingkah
menguis rambut dan dahiku terbuka, lapang rasa
selapang muka laut geloranya tersimpan
selapang pantai pasirnya landai dan permai.

jejak ditelan desir ombak menyapu pantai
kembali mengatur langkah di pesisiran, mungkinkah
laut akan pasang membasuh danur dan parut semalam
atau tersadai di perdu-perdu luka?

perjalanan perlu diteruskan, perahu sudah dilepaskan
pelantar sudah mengucapkan selamat jalan
laut mendepa tangan menyambut ketibaan
pancaroba dan dugaan entah bagaimana.

panaskah api di tengah lautan?
terpanggangkah diri di pucuk awan?


Pinggiran Taman Bayu

4 Mei 2009

Jumaat, Mei 01, 2009

SEKAWAN SEMUT


sekawan semut meniti jambatan kaca

melintasi semangkuk madu di atas dulang emas
seekor daripadanya bersuara, "itu bukan pilihanku,
kemanisannya memungkinkan aku mati di situ".


Pinggiran Taman Bayu
1 Mei 2009