Ahad, Mei 10, 2009
KESANNYA AKAN KEKAL SAMPAI BILA-BILA
engkau telah melorekhitamkan kanvas ini
dengan arang yang sukar dipadam
meski dengan pemadam paling mahal
kerana kesannya akan kekal sampai bila-bila
akan terpahat di hati dan rasa seluruh insan
menagih keadilan!
engkau telah mengoyakrobekkan pakaian ini
dengan cekau kuku tajam
tidak mungkin dapat dijahit kembali
meski dengan benang emas dan perak
kerana kesannya akan kekal sampai bila-bila
kekal terserlah kejahilan dan kerakusan
manusia yang bongkak!
engkau telah menginjakhindikkan lantai ini
dengan sepatu kilat penuh najis
tidak mungkin dibasuh kembali
dengan pencuci berkuasa paling tinggi
kerana kesannya akan kekal sampai bila-bila
menjadi tanda kecetekan akal budi
tanda kerabakan nilai budaya
manusia tanpa rasa!
engkau telah tinggalkan jejak songsang
engkau telah tinggalkan hanyir longkang
engkau telah tinggalkan amarah rakyat
kesannya akan kekal sampai bila-bila!
Pinggiran Taman Bayu
10 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan