Selasa, Ogos 28, 2012

MERENDAM RESAH DI TASIK CINTA


seandai segunung resah menghempas dada
seruang rindu terhenyak dan terkulai
aku selusuri gigi air di pantai gersang
tiada apa yang ada kecuali sekeping hati
dibaluti sehelai watikah purba
tanpa aksara
tanpa lakaran
tanpa apa-apa

aku meneruskan perjalanan tanpa sepatu
bahang pasir pantai membakar kulit kusam
tanpa secarik baju menutupi
aku tidak dapat berlari lagi

engkau mengejek dari kejauhan tanpa mengerti makna deritaku
mengutip tetes kasih yang tiris dari cangkirnya
dengan sehelai daun kering
dengan sehelai cindai
dengan sehelai baju
tiada yang mampu mengumpulnya
dan aku kekeringan berterusan

engkau bagai tidak pernah memahami jiwaku
kosong yang terpalit pada kanvas tanpa warna ini
sudah lama terperosok di penjuru jiwa
kamar ini semalaman kelam
kusam
aku terus menanti di suduT ini tanpa peduli
sejuk yang mencengkam.

INA - akan kugagahi jua merendam resah
di tasik cinta.


Zaidin Abadi
28 Ogos 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan