Selasa, Jun 16, 2009

23/2K9

MASIH SUARA YANG LAMA

masih tetap suara yang lama
lenggok alun irama masih tiada bezanya
dengan rintih dan pujukan mendayu
dia hamparkan tikar mempelawa duduk
sekepal api mahu dinyalakan hutan di gunung
mahu dibakar menjadi hutan arang
biar berderai menjadi abu berpatah seribu
itu suaranya, sama seperti dahulu!

awas, jangan engkau terpesona
tikar itu hanya hiasan palsu semata
sedang tempat dudukmu nanti
ada rantai mengikat kaki, perjalananmu terhenti
suaramu akan tenggelam dalam marak api
panasnya akan membakar dirimu sendiri!

Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
16 Jun 2009


____________________________________________________
Semua karya adalah hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengambil atau menyalin mana-mana karya tanpa mendapat izin terlebih dahulu.
______________________________________________

Ahad, Jun 14, 2009

ENGKAU SEORANG LELAKI BERANI

kau seorang lelaki berdiri di pinggir pantai
menanti debur ombak dan deru angin memintal
bersuara lantang, menyeru pada biru lautan
tenanglah!

dengan tangan terkepal menumbuk angin
kau menarik sauh perahumu
bersiap untuk meredah badai gelora itu
kerana engkau pasti, di sana ada pulau
damai!

kini, perahu sudah di air
dayung sudah di tanganmu, layarilah
dengan cekal berani kerana gelora itu hanyalah air
yang pasti terlerai jua.



Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
14 Jun 2009

_________________________________________________________________


Semua karya adalah hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengambil atau menyalin mana-mana karya tanpa mendapat izin terlebih dahulu.
___________________________________________________________________

Sabtu, Jun 13, 2009

PETA PERJALANAN

kaubentangkan sehelai peta perjalanan
terlorek laluan merentasi gunung-ganang dan lautan gelora
kautandakan titik akhir kembara ini
sebuah puncak tertinggi di saput awan gemawan
dalam dakapan mesra sebuah kejayaan.

kauatur jejak satu persatu
dengan alas kaki menahan tajam kerikil cabaran
tanpa peduli panas yang menikam diri
kerana engkau amat pasti
ada kedinginan yang menanti
memadam pedih panahan mentari.

seribu liku itu telah kaulalui
kini kau berdiri di puncak
dengan tangan terbuka
mengucap syukur.



Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
13 Jun 2009
_____________________________________________________________


Semua karya adalah hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengambil atau menyalin mana-mana karya tanpa mendapat izin terlebih dahulu.

Sabtu, Jun 06, 2009

RUMAH KITA


rumah ini telah kita bina
sekian lama teguh meredah badai
bersilih musim, berganti zaman
kita menumpang teduhnya
menumpang damainya
jangan digugat utuhnya
biar tiangnya tegak terpasak
biar rasuknya kemas terpahat
biar bumbungnya kekal memayung
sehingga kiamat.

hari ini usah direlakan
anai-anai menggigit lantainya
tempat kita berdiri
di sini.



Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
6 Jun 2009

_____________________________________________

Semua karya adalah hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengambil atau menyalin mana-mana karya tanpa mendapat izin terlebih dahulu.

Khamis, Jun 04, 2009

JADILAH DIRIMU

anakku, jangan jadi kuda pacu
ditonggang tika kau hebat dan sihat
tika tiba waktu kau lemah dan sakit
sebutir peluru singgah membelah kepalamu
jangan jadi seperti itu!

anakku, jangan jadi seekor kakak tua
tahu mengangguk dan ikut bicara tuan
tanpa mengerti makna dan perasaan
kemudian bila tiba waktunya kau dimatikan
kerana terlalu bijak bertutur kata
jangan jadi seperti itu!

jadilah dirimu sendiri, bijak menilai
bijak mentafsir makna di sebalik kata
maksud di sebalik bicara,
jadilah seorang manusia berjiwa tuan
bukan seorang hamba kepada manusia
atau manusia tidak mengenal Tuhan!


ZAIDIN ABADI
Pinggiran Taman Bayu
4 Jun 2009

_________________________________________________

Semua karya adalah hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengambil atau menyalin mana-mana karya tanpa mendapat izin terlebih dahulu.

Isnin, Jun 01, 2009

PAHLAWAN DARI DAERAH SENGSARA

sesudah mengusap kepala anak kecilnya di muka pintu
dia melangkah cekal meredah dingin subuh ke perdu rezeki
dengan sekepal doa kudus, semoga anaknya membesar
dengan penuh kesedaran bahawa miskin tidak selamanya
tersorot ke belakang atau tercicir dari landasan.

Tuhan mungkin memberikan kekurangan kepada kita
tetapi hari esok belum pasti bagaimana jadinya, anakku
jika kau idamkan puncak gunung emas itu engkau perlu berjalan
meskipun terpaksa meredah onak dan duri berbisa
kerana tidak mungkin gunung itu menghampirimu
tanpa engkau mencari jalan untuk tiba ke sana,
Tuhan tidak zalim wahai anakku.

Meski dalam serba sengsara engkau akan membesar
menghirup udara panas di bawah pohon kering ini
bersabarlah anakku kerana nanti pasti ada pembalasan
berkat kesungguhan usaha dan doa luhurmu
akan tiba waktunya nanti engkau bangkit
sebagai seorang pahlawan memerdekakan diri
dari daerah sengsara ini.


Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
1 Jun 2009