sesudah mengusap kepala anak kecilnya di muka pintu
dia melangkah cekal meredah dingin subuh ke perdu rezeki
dengan sekepal doa kudus, semoga anaknya membesar
dengan penuh kesedaran bahawa miskin tidak selamanya
tersorot ke belakang atau tercicir dari landasan.
Tuhan mungkin memberikan kekurangan kepada kita
tetapi hari esok belum pasti bagaimana jadinya, anakku
jika kau idamkan puncak gunung emas itu engkau perlu berjalan
meskipun terpaksa meredah onak dan duri berbisa
kerana tidak mungkin gunung itu menghampirimu
tanpa engkau mencari jalan untuk tiba ke sana,
Tuhan tidak zalim wahai anakku.
Meski dalam serba sengsara engkau akan membesar
menghirup udara panas di bawah pohon kering ini
bersabarlah anakku kerana nanti pasti ada pembalasan
berkat kesungguhan usaha dan doa luhurmu
akan tiba waktunya nanti engkau bangkit
sebagai seorang pahlawan memerdekakan diri
dari daerah sengsara ini.
Zaidin Abadi
Pinggiran Taman Bayu
1 Jun 2009
Salam Zaidin,
BalasPadammembina hidup amat sukar, tapi beruntunglah buat setiap "ayah" yang kental,
membina hidup amat payah,tapi beruntunglah buat setiap "anak" yang tahu ruang diri dan jati diri ...